Saturday, June 11, 2011

sAHaBat,Mati ItU Satu keBenaraN...!!!!!


Mati. Setiap yang bernyawa pasti dan akan mati. Bercerai roh dari jasad. Tahukah anda bila anda akan mati? Bersediakah anda untuk mati? Jika ditanya pada aku, sudah pasti jawapannya, aku masih tidak bersedia! Kenapa masih tidak bersedia?
Bukan untuk menikmati keindahan duniawi, bukan juga masih tidak puas hidup di dunia yang penuh godaan ini, tetapi mengenangkan terlalu banyak dosa yang masih belum di-top up dengan pahala, amalan yang amat sedikit apatah lagi Iman yang ibarat roda, turun dan naik. Sekejap di atas sekejap di bawah, aku terlalu takut dan malu untuk mengadap-Nya.
Pernahkah anda terfikir yang anda akan mati dengan tiba-tiba tanpa sebarang petanda? Aku pernah dan selalu. Tidak mengira masa terutamanya apabila berbaring untuk melelapkan mata, aku akan termenung sejenak. Merenung syiling yang bersawang, dalam cahaya yang samar."Macam mana agaknya kalau Allah tiba-tiba nak cabut nyawa aku?" Aku fikir dengan mendalam dan selalunya datang perasaan gemuruh, gentar. Serius. Kita tidak tahu bila kita akan meninggalkan dunia ini.
Bila-bila masa saja.
Pernah, selalunya bila hampir terlelap, tiba-tiba datang perasaan seolah-olah nyawa hendak pergi. Terkejut. Terus beristighfar seraya bermonolog, "Ya Allah, jangan ambil nyawa aku lagi, jangan! Aku masih tidak bersedia lagi ya Allah!"
Serius. Aku bukan cakap sebarangan. Mungkin aku terlalu memikirkan banyak perkara. Pernah juga aku suarakan tentang perkara ini kepada ibu yang aku panggil umi, "Umi, kenapa along selalu fikir pasal mati eh? Petanda ke ni?"
Cepat saja umiku memotong kata, "Hish! jangan fikir bukan-bukan la.. Tu maknanya Allah nak along perbanyakkan amalan, ibadah, biar jadi orang beriman.."
Cuba anda fikirkan sejenak, hari ni kita tengok orang itu meninggal, orang ini meninggal, kita bersedih untuk orang itu dan menangis untuk orang ini. Tetapi, cuba anda bayangkan esok pula orang menangis untuk anda.
Setiap hari ada sahaja orang meninggal dan kadangkala dengan sebab yang tidak munasabah dan tidak tersangka. Jangan ingat mati itu menjemput tika hari tua, sebab sakit tua, apabila usia mencapai 70 dan ke atas. Kata orang, umur kritikal untuk ke masjid.
Apa salahnya kita muhasabah diri. Kadang-kadang aku termenung, kenapa orang itu dan orang ini masih leka bermaksiat, kalau tiba-tiba Allah cabut nyawa masa itu, alangkah ruginya.
Dulu, masa belajar di kolej matrikulasi, aku sempat menyertai dan mengikuti jemaah tabligh. Banyak yang aku belajar dan masih banyak yang aku tidak ketahui. Masih aku ingat kata-kata ini, "Amalan kita, solat kita, puasa kita dan sebagainya itu bukan menjamin kita untuk ke syurga-Nya. Beribadahlah berterusan seribu tahun sekalipun belum tentu menjamin kita untuk ke syurga Allah." Aku terkedu.
"Ya Allah, layakkah aku untuk ke Syurga-Mu?" Aku bertanya.
Habis itu apa yang menjamin kita untuk ke Syurga Allah?
Jawapannya ringkas saja, "Keredhaan Allah". Keredhaan Allah yang membenarkan kita untuk menjejakkan kaki ke Syurga nan indah itu. Wallahualam.
Jadi, setiap perkara yang kita lakukan, biarlah mendapat keredhaan-Nya. Apa jua perkara sekalipun. Muhasabahkan diri.
Apabila anda bersendirian, keadaan sunyi sepi.. cuba pejamkan mata. Bayangkan sudah tiba masanya untuk anda pergi selamanya. Sakit bukan kepalang.. luka terhiris sembilu sudah pedih, apatah lagi roh yang hendak bercerai dari jasad.
Anggota badan anda tidak dapat bergerak, bermula dari bawah.. perlahan-lahan ke atas. Deria anda yang terakhir yang dapat berfungsi ialah telinga. Saat itu, semuanya sudah gelap gelita, hanya dapat mendengar bunyi persekitaran.
Telinga adalah deria terakhir yang berfungsi sebelum roh meninggalkan jasad. Sebab itulah kita dikehendaki membisikkan kalimah syahadah di kala seseorang sudah nazak. Nazak bermakna nyawa sudah sampai ke penghujungnya.
Memuhasabah diri sedikit sebanyak dapat membantu kita, sejauh manakah kesedaran kita.. kesediaan kita untuk mati. Jangan sedar saja, hendaklah disusuli dengan amalan yang diredhai-Nya. Aku berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan sekalian. Moga hidup kita sentiasa diberkati dan diredhai Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment